10 TIP UNGGUL MEMBELI-BELAH DI FLEA MARKET

Ledakan konsep dekorasi yang berasaskan vintaj semakin menarik minat pemilik kediaman tempatan. Kewujudan flea market dan kedai barangan terpakai atau vintaj mempertontonkan koleksi barangan dekor yang dapat merealiasasikan konsep Flea Market Style yang anda mahukan.. Namun begitu, tidak ramai yang tahu apa yang perlu mereka ketahui sebelum membeli-belah di flea market. Kali ini, saya akan berkongsi dengan anda 10 tip dan trik unggul yang akan memudahkan proses membeli-belah anda.

1. Perancangan. Walau dalam apa pun perkara yang dilakukan, perancangan merupakan elemen terpenting yang bakal membantu proses carian anda. Ketahui apakah barangan yang anda mahukan. Fikirkan tujuan anda untuk pergi ke flea market. Dengan ini anda telah mendapat gambaran kasar tentang hala tuju anda di flea market nanti.

2. Kajian. Sebelum anda menuju ke flea market, buat kajian terlebih dahulu terhadap harga pasaran barangan yang anda cari. Harga boleh menjadi sesuatu yang rumit terutamanya barangan antik. Tentukan harga yang anda mahukan sebelum bertanyakan harga dan kemudian tanyakan kepada penjual adakah itu harga terbaik yang mereka tawarkan. Jadilah seorang pengguna yang bijak.

3. Jadual. Mustahil bagi seorang pemilik kediaman dapat memenuhi impian dekorasinya dengan hanya sekali kunjungan ke flea market. Ini kerana ada sesetengah flea market yang hanya fokus menjual perabot, barangan antik ataupun aksesori. Kekerapan kunjungan adalah kunci kejayaan, terutama apabila anda mencari barangan tertentu. Tidak salah sekiranya anda sahaja datang untuk melihat, ia akan menambah peluang untuk mendapatkan barangan yang anda mahukan.

4. Wishlist! Janganlah menjadi seorang pengumpul barangan yang anda tidak tahu mahu digayakan di mana pada kediaman. Kesudahannya kediaman mengalami masalah ruang yang lebih berselerak dan kacau bilau. Pemilik kediaman yang bijak dan berhemah sentiasa tahu apa yang dia mahukan pada kediamannya. Dengan adanya wishlist atau senarai barangan, ia dapat menjadi garis panduan terhadap tujuan anda pergi ke flea market. Senarai ini melibatkan barangan yang sememangnya anda mahukan atau impikan. Buatkan senarai dengan maklumat terperinci, jika ia melibatkan perabot. Anda perlu mengetahui saiz yang diperuntukkan untuk perabot yang bakal diletakkan. Jangan lupa membawa pita pengukur! Dengan kewujudan pelbagai gajet yang memudahkan hidup anda, simpankan gambar ruang yang mahu anda hiaskan supaya apabila terjumpa barangan yang diimpikan anda terus dapat membayangkan di mana ia bakal digayakan.

5. Masa. Anda yang mengatakan anda patut tiba seawal mungkin untuk mendapatkan barangan yang terbaik. Ia sememangnya benar sekiranya anda pergi mencari di flea market yang popular atau yang kerap dikunjungi oleh mereka yang profesional. Tetapi anda juga yang mengatakan tawaran terbaik boleh diperolehi pada penghujung hari jualan kerana mereka tidak mahu membawa balik kesemua barangan. Kelebihan sekiranya anda datang lebih awal adalah anda dapat meninjai dahulu barangan yang dijual oleh setiap penjual di flea market sebelum jualan berlangsung. Dengan ini, lebih mudah untuk anda mensasarkan tempat yang perlu anda tujui dahulu. Bagi yang datang lewat, gunakan kelebihan ini untuk menawarkan barangan yang bersaiz dempak. Kebanyakan penjual sedia berunding terhadap barangan sebegini kerana ia susah untuk dibungkuskan semula, juga memerlukan kos pengangkutan yang mahal.

6. DIY. Sesetengah flea market turut menjual barangan yang mungkin perlu diperbaiki semula seperti kabinet yang patah atau kerusi yang telah koyak fabriknya. Mungkin terlintas di fikiran kita untuk memberikan wajah baru kerana tertarik dengan reka bentuk yang unik dengan melakukan DIY. Meskipun ia adalah idea yang kreatif, terdapat juga situasi di mana akhirnya perabot ini bakal disimpan di dalam stor. Beli perabot yang anda fikirkan berbaloi diberikan wajah baru atau mudah diperbaiki.

7. Berbelanja besar. Ada ketikanya akan terlintas di fikiran anda persoalan, “Bilakah waktu yang sesuai untuk berbelanja?”. Terdapat barangan di flea market yang berharga lebih mahal daripada jangkaan anda. Kebiasaannya melibatkan barangan vintaj pereka, edisi khas, barangan peribadi dan juga antik. Sekiranya anda menghadapi situasi sebegini, pertimbangkan untuk memperuntukan wang bagi barangan yang akan disimpan atau digunakan dalam jangka masa panjang. Bak kata pepatah, “Alah membeli, menang memakai”. Lagipun bukan selalu anda berbelanja untuk barang sebegini, mungkin sekali dalam setahun.

 

8. Pakaian yang selesa. Mungkin ada yang memikirkan ia bukanlah perkara penting. Tetapi pakaian dan kasut yang selesa banyak menyumbang kepada keselesaan dan keseronokan anda mencari barang di flea market, terutama di tempat terbuka. Anda perlu banyak berjalan untuk meninjau barangan yang dikehendaki. Janganlah disebabkan keadaan diri yang kurang selesa membuatkan anda membeli barangan dalam keadaan terburu-buru. Hasilnya, apabila tiba di rumah, anda berasa hampa dengan pilihan sendiri.

9. Bawa wang tunai. Meskipun kita berada di era mesin kad kredit bergerak, namun urusan secara tunai adalah standard dilakukan di flea market. Dengan membawa sejumlah wang ke flea market, ia dapat menentukan bajet anda sekaligus mengelakkan pembaziran.

10. Berseronok! Berkunjung ke flea market adalah aktiviti yang menyeronokkan. Nikmati masa anda kerana di sinilah anda berpeluang terjumpa dengan barangan yang diimpikan. Jangan lupa untuk beramah mesra. Kebanyakan mereka yang menjual di flea market melakukan demi keseronokan, dan barangan adalah daripada koleksi persendirian. Jika bernasib baik, mungkin mereka akan menghubungi anda dahulu sekiranya terdapat barangan menarik yang anda mahukan.

Proses membeli-belah di flea market yang berjaya bermakna anda membawa pulang barangan yang anda sukai dan diperlukan! Bukannya akan berlaku pembaziran dengan membeli barangan yang anda rasakan cantik dan menarik tetapi akhirnya tidak tahu di mana sesuai diletakkan setelah tiba di rumah.

Antara lokasi flea market yang popular di Malaysia adalah:

v Amcorp Mall Flea Market, Kuala Lumpur

v Pasar Karat Kuala Lumpur (Petaling Street)

v Pasar Loken, Ipoh

v Pasar Karat Jalan Hang Lekir, Melaka

v Lorong Kulit, Pulau Pinang

v Rengit Parade, Johor

v Pasar Karat, Batu Pahat

 

Selain dari flea market, anda juga boleh mendapatkan barangan vintaj di kedai khusus menjual barangan sebegini ataupun kedai perabot terpakai. Nantikan di entri akan datang, kedai pilihan bagi anda yang ingin merealisasikan dekorasi Flea Market Style.

Gaya Flea Market, Hot bagi 2013!

Salam dekorasi! Bertemu kembali di dalam entri pertama blog bagi tahun ini. Bagi peminat setia blog ini, terima kasih kerana sentiasa menyokong imanpuri interior & architecture. Tahun 2013, blog ini bakal menyajikan pelbagai projek dekorasi, idea, tip dan info-info terkini mengenai dunia dekorasi tempatan mahupun antarabangsa. Inspirasi ini boleh anda aplikasikan pada kediaman mahupun kehidupan anda. Apabila membicarakan isu dekorasi, ia tidak terhad kepada skop hiasan dalaman dan juga seni bina. Sebenarnya, ia banyak melibatkan gaya hidup kita dan juga persekitaran yang kita diami. Semoga blog ini dapat menjadi sumber rujukan bagi semua pemilik kediaman terutama di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Di dalam Impiana isu Januari 2013, imanpuri interior & architecture diberi kesempatan berkongsi serba-sedikit idea tentang penggayaan Flea Market sebagai panduan asas bagi pembaca. Apa yang cuba saya ketengahkan di blog ini adalah lanjutan kepada perbincangan di dalam majalah Impiana. Seni mencipta penggayaan Flea Market pada kediaman boleh dipelajari dengan pelbagai sumber rujukan yang mudah didapati kini, contohnya majalah yang mengkhusus kepada penggayaan ini ‘Flea Market Style’, terdapat juga buku rujukan khas mengenai gaya ini yang boleh anda perolehi di kedai-kedai buku utama. Sama ada ruang anda moden mahupun rustik, usah gusar untuk menggandingkan dengan barangan dekor diperolehi dari flea market. Apa yang perlu dititik beratkan adalah tentang pemilihan secara berhemah. Masalah yang sering berlaku dengan situasi flea market, sesetengah di antara kita gemar membeli satu atau dua barangan secara rambang yang tidak pasti apa yang akan dibuat dengannya atau di mana mahu diletakkan.

Gaya Flea Market bukanlah sesuatu yang asing di persada dunia dekorasi antarabangsa. Malahan berkunjung ke flea market telah menjadi aktiviti hujung minggu bagi berjuta penduduk di Amerika dan Eropah. Kebanyakan barangan yang boleh didapati di flea market adalah barangan baru, barangan yang jarang digunakan dan masih berfungsi dengan baik, barangan vintaj, koleksi dan juga antik serta beberapa barangan yang perlu dibaiki semula. Menyoroti Trend Dekorasi 2013, gaya dekorasi Flea Market ini bakal meniti di bibir pemilik kediaman tempatan yang semakin terdedah dengan aliran gaya yang diketengahkan dari luar negara ini. Tambahan pula, dengan wujudnya kedai-kedai perabot yang menjual perabot vintaj dan lama yang berkualiti tinggi serta aksesori-aksesori lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Dengan kedudukan ekonomi yang dialami kini, penjimatan dengan membeli barangan gaya Flea Market dapat membantu anda dalam memperuntukkan bajet yang sesuai demi hasil yang lebih mengagumkan.

Gaya Flea Market adalah tentang pemilihan secara berhati-hati terhadap setiap barangan, disertakan dengan pemahaman yang mendalam terhadap ruang kediaman anda (pelan lantai, pencahayaan, warna) dan juga keperluan anda. Ia merupakan kombinasi antara kreativiti dengan keaslian dan nilai cita rasa tentang apa yang serasi atau tidak digandingkan bersama. Dekorasi gaya Flea Market menawarkan peluang untuk menggabungkan personaliti bersama dekorasi, lama dengan baru, kontemporari dengan klasik di mana menghasilkan gaya yang menarik, mengalu-alukan dan selesa untuk didiami.

 

 

Sekiranya anda memang terbuka dengan idea dekorasi gaya Flea Market, ia adalah tidak mustahil untuk melengkapkan dekorasi kediaman anda keseluruhannya dengan barangan hasil dari carian di flea market. Dari perabot dan perkakasan elektrik hinggalah ke pinggan mangkuk, elemen penstoran, permaidani, lukisan, linen dan juga aksesori.

 

Dari sudut warna yang serasi dengan gaya Flea Market ini, nuansa biru dan hijau adalah pilihan warna bagi trend 2013. Seperti kebanyakan perabot dari flea market yang perlu dirias semula, memberikan nafas baru kepada perabot lama dengan palitan cat biru laut bakal menyuntik gaya Flea Market yang lebih segar dan anggun.

 

Di dalam paparan blog akan datang, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tip yang perlu diketahui sebelum ke jualan flea market dan senarai flea market serta kedai perabot yang mesti dikunjungi.

1001 Kediaman (Bahagian Akhir)

Entri kali ini merupakan sisipan terakhir bagi kolum 1001 Kediaman yang telah dipaparkan di dalam majalah Impiana isu Jun 2011. Beberapa permasalahan dekorasi dari pembaca Impiana telah dirungkaikan dalam membantu mereka memiliki sebuah kediaman yang bukan sahaja cantik, malahan selesa dan aman.

Saya ingin menekankan beberapa persoalan yang sangat menarik untuk diketengahkan di sini. Antaranya, soalan pertama yang bertanyakan pendapat tentang cara terbaik untuk mempamerkan foto anak-anak dengan cara yang lebih kreatif. Sememangnya sebagai ibu bapa, merekodkan pembesaran anak-anak dalam bentuk fotografi memberi gamitan memori yang indah untuk diingati. Bagi kenangan-kenangan yang manis dan menarik, sudah pastinya anda mahu ia dikongsi bersama. Teknik cetakan yang semakin maju kini membolehkan anda mencetakkan foto-foto menarik anak anda dan dijadikan feature wall di kamar mereka atau di laluan masuk bagi mencipta karakter berbeza kepada ruang.

Satu lagi persoalan yang menarik adalah cadangan lampu di ruang lantai bilik air bagi seorang pembaca yang mempunyai anak yang berusia dua tahun. Aplikasi lampu di ruang lantai lebih sesuai digayakan di ruang kering bilik air dengan memastikan ia tidak berada di ruang laluan agar trafik tidak tergangggu. Penggunaan lampu LED kalis air adalah pilihan ideal kerana ia mempunyai kepelbagaian efek warna yang menarik dan mudah diselenggara.

Seterusnya, persoalan mengenai solusi bagi seorang pemilik kediaman yang mempunyai ruang pejabat di bahagian sudut lounge kediaman. Dia inginkan solusi bagi menyamarkan kedudukan ruang ini yang sesuai dengan konsep moden. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, dicadangkan penggunaan pintu gelangsar kaca bagi memisahkan ruang privasi dengan ruang sosial. Pemilihan material kaca sangat bersesuaian kerana efeknya tidak menyempitkan ruang kerja meskipun anda berada di ruang tersebut.

 

Apa yang anda perlu tahu tentang …
MEMAKSIMAKAN PENGGUNAAN RUANG
• Serlahkan keluasan ruang dengan penggunaan warna yang minima. Hanya gunakan satu warna, dan satu warna itu tidak semestinya putih. Tetapi anda boleh variasikan tekstur.
• Pastikan kedudukan perabot sentiasa kemas dan teratur. Elakkan memilih perabot yang bersaiz dempak. Ukur dahulu keluasan ruang sebelum membeli bagi memastikan kesesuaian perabot dengan saiz ruang.
• Pilih perabot jenis dwifungsi dan mudah dialihkan (perabot beroda). Ini membolehkan anda menyimpan perabot apabila tidak digunakan bagi memaksimakan kelapangan pada ruang yang terhad.

Nantikan entri akan datang yang lebih menarik dan informasi buat anda. Jangan lupa untuk ‘Like’ facebook iMANPURI!

Salam dekorasi!

Mengolah Ruang Dapur Apartmen

Ruang terhad seringkali dikaitkan dengan kediaman apartmen. Malahan, ruang yang seringkali menimbulkan permasalahan bagi pemilik kediaman apartmen adalah merancang pelan lantai ruang dapur. Ini memandangkan ruang yang terhad memerlukan perancangan teliti dalam memaksimakan penggunaan segenap ruang yang ada, namun masih menyajikan fungsian praktikal dan aliran trafik yang efisien.

Kali ini saya akan kongsikan khas buat mereka yang tinggal di apartmen cara mengolah ruang dapur mereka. Malah, bagi mereka yang tinggal di kediaman teres mahupun townhouse yang berkeluasan sederhana juga boleh mengaplikasikan idea dapur sebegini. Idea 3D ini telah dipaparkan di dalam majalah Dapur Impiana.

Pilihan material kabinet yang bersesuaian dapat mempengaruhi mencipta atmosfera yang bertepatan dengan keluasan dapur anda yang terhad. Pilihan material yang ringkas dan polos perlu ditekankan kerana material kabinet yang bercorak bakal menimbulkan suasana ruang yang lebih sempit dan menampakkan wajah ruang dapur lebih kecil.

Putih adalah pilihan konvensional bagi menimbulkan efek ruang lebih lapang. Rekaan kabinet dapur yang bertepatan dapat menjadi solusi penstoran yang maksimum buat anda. Malahan rak terbuka dapat memberikan lebih karakter kepada wajah ruang dapur anda yang dilatari kertas dinding. Bagi memisah dapur basah, aplikasi pintu gelangsar kaca dapat menghalang kemasukan asap, bau dan sebagainya tanpa mewujudkan batasan antara ruang dapur kering dan dapur basah. Manakala kaunter bar terapung memberi ilusi ruang sudut lebih lapang.

Bagi anda yang ingin mendapat perkhidmatan konsultasi dari imanpuri interior & architecture bolehlah emelkan ke imanpuri@yahoo.com. Anda pasti mendapat solusi terbaik bagi segenap ruang kediaman anda.

1001 Kediaman (Bahagian 2)

Dilema dekorasi kali ini pernah dipaparkan di dalam majalah Impiana isu Mei 2011. Beberapa persoalan berkaitan permasalahan dekorasi di ruang kediaman telah dirungkaikan dengan solusi yang praktikal.

Anak-anak saya suka menconteng dinding menggunakan pen dan juga pensil. Adakah terdapat cara untuk saya melindungi wajah dinding kediaman daripada rosak akibat contengan mereka?
Usah sekat kreativiti anak anda kerana ini membantu memperkembangkan minda mereka ketika membesar. Solusi ideal yang boleh anda lakukan dalam menangani permasalahan ini adalah dengan menyediakan satu ruang kreatif di mana anak-anak anda boleh meluahkan ekspresi seni mereka. Sama ada di ruang kamar ataupun di bilik khas untuk bermain. Sediakan satu bahagian panel dinding dan ia mestilah terdiri daripada kemasan material yang mudah diselenggara contohnya menggunakan kemasan cat yang boleh dicuci, panel kaca ataupun papan putih yang besar.
Feature wall ruang tamu saya digayakan dengan kemasan kertas dinding bermotif wama hitam danturquoise. Apakah pilihan warna dinding sisi yang paling sesuai dipadankan pada ruang tamu ini?
Gabungan dua warna yang anda gayakan ini sangat cantik dan dapat menerbitkan impak ruang yang lebih dramatik. Bagi mengimbangi warna yang berat dan berani ini, saya mencadangkan penggunaan warna-warna pastel seperti off white. Ia secara tidak langsung memberi efek ruang lebih senada dan kelihatan cantik dalam satu pelan lantai ruang yang sama.
Suatu ketika dahulu saya ada membeli sebuah katil dan kepala katil yang di upholstery dengan fabrik bermotif bunga-bungaan. Apa yang menjadi isu adalah agak sukar untuk saya padankan sarung cadar yang kelihatan serasi digayakan bersama serta tidak mahu ruang kamar kelihatan terlampau feminin. Boleh anda berikan idea tentang perkara ini?
Langkah berani yang boleh anda ambil adalah merubah atau menukar upholstery dengan fabrik yang rata. Ianya boleh dipadankan dengan bermacam-macam jenis cadar seperti putih, coklat, hitam ataupun merah hati untuk menaikkan mood pada ruang. Anda boleh menggunakan kusyen pelbagai motif kesukaan sebagai penyeri kepada ruang beradu anda ini. Sekiranya anda masih ingin mengekalkannya, apa yang anda boleh lakukan anda memilih cadar dengan rona-rona asas seperti putih, hitam, beige dan juga krim. Bagi menonjolkan impak ruang lebih bergaya, pilih fabrik cadar yang mempunyai tekstur seperti jahitan ataupun perincian struktur.
Saya membeli sebuah kediaman teres lama dengan keadaan bumbung yang sudah rosak. Boleh anda cadangkan jenis atap dan kesesuaiannya?
Anda boleh memilih jenis atap yang mampu bertahan dengan lebih lama dan juga mudah diselenggara. Ia merupakan pelaburan yang sangat berbaloi bagi mendapatkan bumbung kediaman yang sentiasa cantik dan tidak kusam dimamah cuaca. Monier merupakan antara pilihan terbaik kerana ia menawarkan rangkaian bumbung buat pemilik kediaman. Malah ia juga peneraju kepada bumbung berteknologi hijau yang lebih mesra alam. Di Monier anda boleh mendapat jenis bumbung yang dapat menjimatkan tenaga dan bil elektrik sehingga 30% dan rasa sejuk lebih 10º. Malahan terdapat pilihan yang lebih terkini sama ada anda mahukan bumbung sejuk ataupun bumbung solar.
Kediaman saya mempunyai bay window. Apakah dekorasi yang sesuai dilakukan pada ruang tersebut?
Tidak dapat dinafikan kedudukan bay window sering menimbulkan dilema buat pemilik kediaman. Langkah yang paling praktikal perlu anda lakukan adalah membina ruang duduk/santai tambahan di ruang bay window ini. Bagi memberikan nilai tambah pada ruang ini, lengkapkan binaan tempat duduk ini dengan unit penstoran di bahagian bawahnya. Bagi kemasan langsir pula, bidai roller atau roman adalah yang paling sesuai digaya an bagi menonjolkan reka bentuk bay window.
Via IKEA
Saya mahukan sesuatu yang selesa di ruang membaca/lounge, tetapi juga mahukan sesuatu yang selesa untuk tetamu tidur. Saya tidak sukakan penggunaan futon memandangkan ruang yang ada juga terhad. Apakah idea yang anda rasakan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini?
Futon telah menjadi begitu popular di negara barat sejak dahulu lagi kerana ia menyajikan dwifungsi kepada penggunaan ruang. Oleh kerana reka bentuk futon yang kebiasaannya bersaiz agak dempak, ia tidak sesuai digayakan di ruang membaca atau bilik pelbagai guna meskipun reka bentuknya kelihatan lebih menarik dan bergaya. Apa yang boleh anda lakukan adalah membeli day bed yang turut menyediakan dwifungsi sebagai tempat untuk membaca dan juga boleh dijadikan tempat tidur. Apa yang penting adalah kesesuaian perabot dipilih berpandukan saiz ruang yang ada.

Acapella, Ruang Terhad Punyai Gaya Hebat

Ira kayu bagaikan bergurindam membisikkan pesona keindahan gaya dekorasi kediaman ini. Keserasian antara jalinan corak yang terbentuk mencipta karakter ruang dan paling penting memberi kelegaan pada mata yang memandang.

Menata kediaman berkeluasan terhad sememangnya menuntut kreativiti yang tepat agar ia menjadi tempat yang paling selesa. Bijak memilih dan mengawal susun atur pastinya menjadi rencah utama penggayaan. Kali ini Profil Projek imanpuri interior & architecture memaparkan gaya hias kediaman berkeluasan terhad.

Profil projek:
Projek: Apartmen
Lokasi: Apartmen Servis Sri Acapella, Shah Alam

 

S:Apakah cetusan idea dekorasi bagi apartmen ini?
Anis Amir: Idea kontemporari yang segar dengan bermain lebih banyak perabot moden berpotongan ringkas bersulamkan rona natural dan material venir sebagai elemen utama penggayaan. Kediaman ini mempunyai reka bentuk segi empat sama. Ia mempunyai dua buah  bilik tidur dan satu bilik bacaan.
“Bilangan perabot yang minima menjadikan ruang tamu selesa dan kelihatan luas. Dominasi rona terang pada dinding memberikan dimensi ruang yang menenangkan dan damai apabila digandingkan dengan tona kayu venir yang menawan. “– Anis Amir
S:Bagaimana dari aspek pemilihan perabot memandangkan keluasan kediaman yang agak terhad?
Anis Amir: Ruang tamu yang sederhana luas dihias sempurna dengan sofa berbentuk L. Alasan pemilihan perabot sebegini dapat menjimatkan penggunaan ruang dan lantas mencipta keselesaan ketika menonton televisyen mahupun semasa kedatangan tetamu. Perabot binaan dalam bagi kedua-dua bilik tidur dan bilik bacaan turut membantu dalam mewujudkan ilusi ruang yang lebih lapang.
S:Kenapa venir menjadi pilihan?
Anis Amir: Tanpa perlu banyak aksesori, latar dinding yang diperkemaskan dengan kepingan venir menjadi sebagai elemen hiasan utama kediaman ini. Ia berjaya menonjolkan kekuatan personaliti ruang seterusnya mencipta pesona elegan dan impak lebih sofiskated. Malahan setiap kepingan venir bagaikan menitip ceritanya tersendiri dengan corak ira dan tonanya yang berbeza serta unik. Antara jenis venir yang digunakan adalah venir Sapeli bagi kabinet kasut gantung berdekatan ruang pintu masuk, venir Satin Apple di kabinet televisyen dan panel pembahagi ruang makan, venir Green Heart Poplar yang digabung bersama cermin di ruang makan serta  venir Zebrano bagi kepala katil bilik tidur kedua. Yang paling menarik adalah kemasan venir Mapa Burl di siling ruang makan yang mencipta pesona ruang lebih eksotik.
S:Apakah resipi sebuah dapur yang praktikal bagi ruang terhad?
Anis Amir: Ruang terhad memang menyukarkan pembentukan binaan pulau di ruang dapur. Namun solusi terbaik adalah dengan pembentukan kabinet dapur berbentuk ‘U’ dengan bahagian penjuru dijadikan ruang kaunter bar. Pastikan anda memilih jenis penstoran yang tepat agar segenap ruang kabinet dimanfaatkan sepenuhnya.
Semoga anda mendapat cetusan ilham yang boleh diadaptasikan dalam kediaman sendiri melalui paparan projek yang pernah menghiasi majalah Impiana ini. Nantikan kupasan dilema dekorasi dalam segmen 1001 Kediamanakan datang.

1001 Kediaman

Dunia dekorasi tidak pernah menjemukan. Sebagai seorang pereka, setiap projek mempunyai cabarannya tersendiri apatah lagi menuntut daya kreativiti diluahkan berdasarkan pilihan cita rasa pelanggan. Selama lebih 10 tahun menceburkan diri dalam dunia pereka bentuk dalaman ini memberikan pelbagai pengalaman berbeza dan juga ilmu yang dipelajari secara tidak langsung.
Maka bertitik tolak dari itu, saya ingin kongsikan bersama beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca majalah IMPIANA, dalam mengurai permasalahan mereka yang berkaitan dengan dunia dekorasi dan tata hias dalaman. Ia telah dipaparkan pada keluaran April 2011. Mana tahu, dengan membacanya mungkin persoalan yang selama ini membelenggu anda, terjawab akhirnya.

 

Hari ini juga merupakan tarikh istimewa yang datang menyinggah empat tahun sekali, 29 Februari! Semoga ia menjadi hari terbaik untuk diingati.

Salam dekorasi,

Anis Amir

imanpuri interior & architecture

Dari Butik menjadi Kafe

Kafe merupakan tempat untuk kita bersantai, menikmati secangkir kopi ataupun hidangan kegemaran anda. Kafe yang tipikal boleh didapati di mana-mana ceruk tempat. Namun, gaya dekorasi bagi setiap kafe adalah berlainan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tata hias dalaman kafe memainkan peranan besar untuk menarik pelanggan ke kafe serta makanan yang sedap dan perkhidmatan terbaik. Menjadi kreatif dengan persekitaran ruang makan merupakan solusi terbaik memandangkan setiap orang mahukan atmosfera ruang makan yang menyenangkan serta meniupkan ilham santai. Malahan, tata hias dalaman yang unik akan membezakan sesebuah kafe dengan kafe yang lain dan mencipta penjenamaan di minda para pelanggan.

Profil projek:
Projek : Anak Tanjung Delight
Jenis projek : Kafe
Lokasi : Metropoint, Kajang
Pereka: imanpuri interior & architecture

Berikut merupakan proposal lukisan 3D yang dicadangkan oleh imanpuri interior & architecture kepada pemilik kafe ini.

 

© imanpuri interior & architecture
© imanpuri interior & architecture
© imanpuri interior & architecture

Projek yang diketengahkan kali ini merupakan sebuah projek kafe iaitu Anak Tanjung Delight yang terletak di Metropoint, Kajang. Projek kafe ini pernah mengisi halaman IMPIANA, isu Mei 2011 di dalam kolum Deko Kafe.

S : Ceritakan serba sedikit mengenai kafe ini?
Anis Amir : Sekali pandang mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa kafe ini asalnya merupakan sebuah butik pakaian. Di sinilah letaknya cabaran dalam mengubah wajah sebuah butik menjadi sebuah kafe terutama dari segi perencanaan ruang. Pemilik kafe ini telah menyerahkan tanggung jawab kepada imanpuri interior & architectureuntuk mengubah wajah ruang ini untuk menjadi sebuah kafe yang berkonsepkan kopitiam moden.

 

 

S : Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses pengubahsuaian?
Anis Amir : Bagi proses renovasi, selama sebulan masa diperuntukkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian utama, hanya water feature yang terletak di bahagian hadapan kafe yang dikekalkan memandangkan ia antara feature yang menarik untuk dikekalkan. Pengubahsuaian utama melibatkan bahagian dapur di mana konsep yang ingin diketengahkan adalah open concept kitchen. Binaan kaunter menjadi elemen terpenting di ruang ini yang turut dilengkapi dengan kabinet pamer bercermin yang mempertontonkan seleksi hidangan kuih-muih kafe ini.
S : Bagaimana pula dari segi pemilihan konsep bagi kafe ini?
Anis Amir : Naturalistik adalah tema yang diterapkan dalam penggayaan kafe ini dengan memberi penekanan kepada kemasan penyudah material seni bina yang asas persembahan kosmetiknya dan rough plastering yang membiaskan mood rustik.. Namun, pemilik kafe mahukan inspirasi seni bina Melaka turut dipaparkan ke dalam tata hiasan dalaman memandangkan kafe ini menyajikan hidangan tradisional Melaka. Elemen ini saya paparkan kepada struktur bata di bahagian dapur terbuka yang berona merah, inspirasi warna seni bina kota A Famosa. Selain itu, biasan warna ini juga turut diaplikasikan sebagai warna utama latar dinding kafe. Secara psikologi juga kita sedia maklum bahawa warna merah mampu menyuntik selera dan warna yang serasikan digayakan di outlet makanan. Pilihan perabot pula mempamerkan keunikan perabot Baba & Nyonya yang antik sedikit sebanyak meniup atmosfera negeri Melaka.

 

 

S : Apakah keistimewaan kafe ini?
Anis Amir : Selain seleksi makanannya yang sedap? Sudah tentulah latar hiasan dindingnya yang bagaikan mencipta suatu ceriteranya tersendiri. Selain foto-foto hidangan menu yang mengecurkan selera, gambar nostalgia pemilik yang dicetak hitam putih membangkitkan nostalgianya tersendiri. Malahan, foto seni bina kediaman di Melaka memperindahkan lagi ruang serta mendekatkan para pelanggan yang datang dengan khazanah kebudayaan Melaka itu sendiri.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan serta inginkan informasi lanjut tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh imanpuri interior & architecture, silalah emelkan ke: imanpuri@yahoo.com

Berdandan dengan Dekorasi

Mencipta  atmosfera yang terbaik buat salon kecantikan adalah bahagian terpenting bagi menarik dan mengekalkan pelanggan anda. Beberapa faktor akan mempengaruhi atmosfera termasuklah warna, pencahayaan, aksesori dekorasi dan ruang pameran. Menentukan mood yang dimahukan di salon, adalah sesuatu yang perlu dilaburkan oleh pemilik dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggannya. Berpeluang melaksanakan projek dekorasi salon buat pertama kalinya memberikan pengalaman berbeza dari perspektif tata hias dalaman. Apatah lagi pemilik RO Salon yang sememangnya mempunyai nilai cita rasa yang tinggi dari segi tata hias dalaman.
Profil projek:
Projek                              : RO Salon
Pereka bentuk dalaman: imanpuri interior & architecture
Lokasi                              : USJ, Subang
Konsep                             : Moden Glam
Fotografi                         : snbphotography
S: Apakah yang dimahukan oleh pelanggan (pemilik salon)?
Anis AmirClient ini merupakan sahabat baik kepada Azmie Kamal. Pasangan ini bernama Wan dan isterinya Akiko yang berbangsa Jepun. Mereka mahukan gaya dekorasi sebuah salon dan butik yang glamor dengan perincian yang berani dan unik. Sebagai pemilik salon, mereka mahu memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Pelanggan yang gembira akan setia, dan bakal kembali untuk rawatan dandanan berulang-kali. Pelanggan akan memperuntukkan berjam lamanya di dalam salon untuk mewarna atau memotong rambut, dan mereka mahu mewujudkan suasana yang selesa buat pelanggan yang datang.
S: Siapa atau apa yang mempengaruhi rekaan hiasan anda bagi projek salon ini?
Anis Amir: Kebanyakannya adalah dari client kerana mereka sangat terdedah dengan dunia fesyen dan begitu trendy. Bagi susunan perabot dan reka letak adalah mengikut feng shui Jepun, contohnya bahagian kaunter tidak boleh menghadap pintu utama. Ia haruslah diletakkan di sebelah kiri pintu masuk. Kebersihan toilet juga sangat diutamakan, membuatkan client begitu berani sehingga menggayakan kemasan kertas dinding di dinding toilet salon mereka.
S: Bagaimana anda meletakkan kesemua skema kelihatan serasi digandingkan?
Anis Amir: Paling utama adalah warna simbol kekayaan dan keserasian client.  Warna jingga sebagai warna dominan, manakala perabot kebanyakan berwarna hitam dan putih menyerlahkan pesona ruang yang extremely chic. Penggunaan elemen cermin memberikan mood ruang lebih glam and gives the impression that they run a cutting edge salon.
S: Dengan ketelitian terhadap perincian, projek ini memerlukan penggayaan barangan dan aksesori yang ditempah khas dan mempunyai nilai cita rasa yang eksklusif. Apakah barangan yang anda rasakan sesuatu yang begitu istimewa?
Anis Amir: Cermin dan meja yang digunakan ketika membelai rambut pelanggan yang datang sangat menarik dengan kombinasi kemasan mirror dan stainless steel. Dekorasi dan skema rekaan yang digunakan ini dapat mencipta ambience yang membuatkan pelanggan kembali bukan hanya untuk mendapatkan dandanan rambut terbaik.
S: Apakah bahagian atau rekaan kegemaran anda bagi projek ini?
Anis AmirToilet! Pelik, tapi ia memang benar. Tetapi gambaran hasil seninya tidak dapat dikongsi bersama. Jika anda ingin tahu perlulah datang ke salon ini. Kemasan kertas dinding berwarna cooper dan feature wall bermotif bungaan begitu cantik sehingga membuatkan anda tidak mahu keluar dari ruang ini … ha..ha..ha..agak janggal bukan? Selain daripada itu, ruang menunggu juga sangat menarik di mana terletak di ruang tengah salon. Aturan sofa yang sangat selesa dan terlindung dari pandangan orang ramai memberikan kesan lebih privasi. Ruang menunggu yang selesa ini dilengkapi dengan set TV dan audio, ditemani dengan majalah dan juga paparan dekorasi dinding yang menjadikan pelanggan lebih gembira sebelum janji temu mereka di salon dimulakan.
S: Apakah terdapat cabaran dalam rekaan yang anda hadapi sewaktu mendekorasi salon ini?
Anis Amir: Cabaran kali ini sangat berbeza, pertama kali membuat projek ID tanpa plan. Semuanya lakaran di dinding site dan hasil perkongsian imaginasi saya, Azmi dan client. Apa yang boleh saya simpulkan, pengalaman yang selesa dengan gaya dekorasi menarik dan susun atur adalah kunci yang mengekalkan pelanggan salon anda. Mencipta persekitaran yang bertepatan dengan rawatan dandanan yang terbaik akan memberikan pengalaman yang lebih bermakna buat para pelanggan yang datang. Lukisan, dekorasi dan mempunyai perabot salon yang selesa adalah kesemua aspek yang perlu ada pada setiap pemilik salon dandanan apabila mereka mempertimbangkan rekaan bagi perniagaan mereka.