1001 Kediaman (Bahagian 2)

Dilema dekorasi kali ini pernah dipaparkan di dalam majalah Impiana isu Mei 2011. Beberapa persoalan berkaitan permasalahan dekorasi di ruang kediaman telah dirungkaikan dengan solusi yang praktikal.

Anak-anak saya suka menconteng dinding menggunakan pen dan juga pensil. Adakah terdapat cara untuk saya melindungi wajah dinding kediaman daripada rosak akibat contengan mereka?
Usah sekat kreativiti anak anda kerana ini membantu memperkembangkan minda mereka ketika membesar. Solusi ideal yang boleh anda lakukan dalam menangani permasalahan ini adalah dengan menyediakan satu ruang kreatif di mana anak-anak anda boleh meluahkan ekspresi seni mereka. Sama ada di ruang kamar ataupun di bilik khas untuk bermain. Sediakan satu bahagian panel dinding dan ia mestilah terdiri daripada kemasan material yang mudah diselenggara contohnya menggunakan kemasan cat yang boleh dicuci, panel kaca ataupun papan putih yang besar.
Feature wall ruang tamu saya digayakan dengan kemasan kertas dinding bermotif wama hitam danturquoise. Apakah pilihan warna dinding sisi yang paling sesuai dipadankan pada ruang tamu ini?
Gabungan dua warna yang anda gayakan ini sangat cantik dan dapat menerbitkan impak ruang yang lebih dramatik. Bagi mengimbangi warna yang berat dan berani ini, saya mencadangkan penggunaan warna-warna pastel seperti off white. Ia secara tidak langsung memberi efek ruang lebih senada dan kelihatan cantik dalam satu pelan lantai ruang yang sama.
Suatu ketika dahulu saya ada membeli sebuah katil dan kepala katil yang di upholstery dengan fabrik bermotif bunga-bungaan. Apa yang menjadi isu adalah agak sukar untuk saya padankan sarung cadar yang kelihatan serasi digayakan bersama serta tidak mahu ruang kamar kelihatan terlampau feminin. Boleh anda berikan idea tentang perkara ini?
Langkah berani yang boleh anda ambil adalah merubah atau menukar upholstery dengan fabrik yang rata. Ianya boleh dipadankan dengan bermacam-macam jenis cadar seperti putih, coklat, hitam ataupun merah hati untuk menaikkan mood pada ruang. Anda boleh menggunakan kusyen pelbagai motif kesukaan sebagai penyeri kepada ruang beradu anda ini. Sekiranya anda masih ingin mengekalkannya, apa yang anda boleh lakukan anda memilih cadar dengan rona-rona asas seperti putih, hitam, beige dan juga krim. Bagi menonjolkan impak ruang lebih bergaya, pilih fabrik cadar yang mempunyai tekstur seperti jahitan ataupun perincian struktur.
Saya membeli sebuah kediaman teres lama dengan keadaan bumbung yang sudah rosak. Boleh anda cadangkan jenis atap dan kesesuaiannya?
Anda boleh memilih jenis atap yang mampu bertahan dengan lebih lama dan juga mudah diselenggara. Ia merupakan pelaburan yang sangat berbaloi bagi mendapatkan bumbung kediaman yang sentiasa cantik dan tidak kusam dimamah cuaca. Monier merupakan antara pilihan terbaik kerana ia menawarkan rangkaian bumbung buat pemilik kediaman. Malah ia juga peneraju kepada bumbung berteknologi hijau yang lebih mesra alam. Di Monier anda boleh mendapat jenis bumbung yang dapat menjimatkan tenaga dan bil elektrik sehingga 30% dan rasa sejuk lebih 10º. Malahan terdapat pilihan yang lebih terkini sama ada anda mahukan bumbung sejuk ataupun bumbung solar.
Kediaman saya mempunyai bay window. Apakah dekorasi yang sesuai dilakukan pada ruang tersebut?
Tidak dapat dinafikan kedudukan bay window sering menimbulkan dilema buat pemilik kediaman. Langkah yang paling praktikal perlu anda lakukan adalah membina ruang duduk/santai tambahan di ruang bay window ini. Bagi memberikan nilai tambah pada ruang ini, lengkapkan binaan tempat duduk ini dengan unit penstoran di bahagian bawahnya. Bagi kemasan langsir pula, bidai roller atau roman adalah yang paling sesuai digaya an bagi menonjolkan reka bentuk bay window.
Via IKEA
Saya mahukan sesuatu yang selesa di ruang membaca/lounge, tetapi juga mahukan sesuatu yang selesa untuk tetamu tidur. Saya tidak sukakan penggunaan futon memandangkan ruang yang ada juga terhad. Apakah idea yang anda rasakan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini?
Futon telah menjadi begitu popular di negara barat sejak dahulu lagi kerana ia menyajikan dwifungsi kepada penggunaan ruang. Oleh kerana reka bentuk futon yang kebiasaannya bersaiz agak dempak, ia tidak sesuai digayakan di ruang membaca atau bilik pelbagai guna meskipun reka bentuknya kelihatan lebih menarik dan bergaya. Apa yang boleh anda lakukan adalah membeli day bed yang turut menyediakan dwifungsi sebagai tempat untuk membaca dan juga boleh dijadikan tempat tidur. Apa yang penting adalah kesesuaian perabot dipilih berpandukan saiz ruang yang ada.

Acapella, Ruang Terhad Punyai Gaya Hebat

Ira kayu bagaikan bergurindam membisikkan pesona keindahan gaya dekorasi kediaman ini. Keserasian antara jalinan corak yang terbentuk mencipta karakter ruang dan paling penting memberi kelegaan pada mata yang memandang.

Menata kediaman berkeluasan terhad sememangnya menuntut kreativiti yang tepat agar ia menjadi tempat yang paling selesa. Bijak memilih dan mengawal susun atur pastinya menjadi rencah utama penggayaan. Kali ini Profil Projek imanpuri interior & architecture memaparkan gaya hias kediaman berkeluasan terhad.

Profil projek:
Projek: Apartmen
Lokasi: Apartmen Servis Sri Acapella, Shah Alam

 

S:Apakah cetusan idea dekorasi bagi apartmen ini?
Anis Amir: Idea kontemporari yang segar dengan bermain lebih banyak perabot moden berpotongan ringkas bersulamkan rona natural dan material venir sebagai elemen utama penggayaan. Kediaman ini mempunyai reka bentuk segi empat sama. Ia mempunyai dua buah  bilik tidur dan satu bilik bacaan.
“Bilangan perabot yang minima menjadikan ruang tamu selesa dan kelihatan luas. Dominasi rona terang pada dinding memberikan dimensi ruang yang menenangkan dan damai apabila digandingkan dengan tona kayu venir yang menawan. “– Anis Amir
S:Bagaimana dari aspek pemilihan perabot memandangkan keluasan kediaman yang agak terhad?
Anis Amir: Ruang tamu yang sederhana luas dihias sempurna dengan sofa berbentuk L. Alasan pemilihan perabot sebegini dapat menjimatkan penggunaan ruang dan lantas mencipta keselesaan ketika menonton televisyen mahupun semasa kedatangan tetamu. Perabot binaan dalam bagi kedua-dua bilik tidur dan bilik bacaan turut membantu dalam mewujudkan ilusi ruang yang lebih lapang.
S:Kenapa venir menjadi pilihan?
Anis Amir: Tanpa perlu banyak aksesori, latar dinding yang diperkemaskan dengan kepingan venir menjadi sebagai elemen hiasan utama kediaman ini. Ia berjaya menonjolkan kekuatan personaliti ruang seterusnya mencipta pesona elegan dan impak lebih sofiskated. Malahan setiap kepingan venir bagaikan menitip ceritanya tersendiri dengan corak ira dan tonanya yang berbeza serta unik. Antara jenis venir yang digunakan adalah venir Sapeli bagi kabinet kasut gantung berdekatan ruang pintu masuk, venir Satin Apple di kabinet televisyen dan panel pembahagi ruang makan, venir Green Heart Poplar yang digabung bersama cermin di ruang makan serta  venir Zebrano bagi kepala katil bilik tidur kedua. Yang paling menarik adalah kemasan venir Mapa Burl di siling ruang makan yang mencipta pesona ruang lebih eksotik.
S:Apakah resipi sebuah dapur yang praktikal bagi ruang terhad?
Anis Amir: Ruang terhad memang menyukarkan pembentukan binaan pulau di ruang dapur. Namun solusi terbaik adalah dengan pembentukan kabinet dapur berbentuk ‘U’ dengan bahagian penjuru dijadikan ruang kaunter bar. Pastikan anda memilih jenis penstoran yang tepat agar segenap ruang kabinet dimanfaatkan sepenuhnya.
Semoga anda mendapat cetusan ilham yang boleh diadaptasikan dalam kediaman sendiri melalui paparan projek yang pernah menghiasi majalah Impiana ini. Nantikan kupasan dilema dekorasi dalam segmen 1001 Kediamanakan datang.

1001 Kediaman

Dunia dekorasi tidak pernah menjemukan. Sebagai seorang pereka, setiap projek mempunyai cabarannya tersendiri apatah lagi menuntut daya kreativiti diluahkan berdasarkan pilihan cita rasa pelanggan. Selama lebih 10 tahun menceburkan diri dalam dunia pereka bentuk dalaman ini memberikan pelbagai pengalaman berbeza dan juga ilmu yang dipelajari secara tidak langsung.
Maka bertitik tolak dari itu, saya ingin kongsikan bersama beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca majalah IMPIANA, dalam mengurai permasalahan mereka yang berkaitan dengan dunia dekorasi dan tata hias dalaman. Ia telah dipaparkan pada keluaran April 2011. Mana tahu, dengan membacanya mungkin persoalan yang selama ini membelenggu anda, terjawab akhirnya.

 

Hari ini juga merupakan tarikh istimewa yang datang menyinggah empat tahun sekali, 29 Februari! Semoga ia menjadi hari terbaik untuk diingati.

Salam dekorasi,

Anis Amir

imanpuri interior & architecture

Dari Butik menjadi Kafe

Kafe merupakan tempat untuk kita bersantai, menikmati secangkir kopi ataupun hidangan kegemaran anda. Kafe yang tipikal boleh didapati di mana-mana ceruk tempat. Namun, gaya dekorasi bagi setiap kafe adalah berlainan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tata hias dalaman kafe memainkan peranan besar untuk menarik pelanggan ke kafe serta makanan yang sedap dan perkhidmatan terbaik. Menjadi kreatif dengan persekitaran ruang makan merupakan solusi terbaik memandangkan setiap orang mahukan atmosfera ruang makan yang menyenangkan serta meniupkan ilham santai. Malahan, tata hias dalaman yang unik akan membezakan sesebuah kafe dengan kafe yang lain dan mencipta penjenamaan di minda para pelanggan.

Profil projek:
Projek : Anak Tanjung Delight
Jenis projek : Kafe
Lokasi : Metropoint, Kajang
Pereka: imanpuri interior & architecture

Berikut merupakan proposal lukisan 3D yang dicadangkan oleh imanpuri interior & architecture kepada pemilik kafe ini.

 

© imanpuri interior & architecture
© imanpuri interior & architecture
© imanpuri interior & architecture

Projek yang diketengahkan kali ini merupakan sebuah projek kafe iaitu Anak Tanjung Delight yang terletak di Metropoint, Kajang. Projek kafe ini pernah mengisi halaman IMPIANA, isu Mei 2011 di dalam kolum Deko Kafe.

S : Ceritakan serba sedikit mengenai kafe ini?
Anis Amir : Sekali pandang mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa kafe ini asalnya merupakan sebuah butik pakaian. Di sinilah letaknya cabaran dalam mengubah wajah sebuah butik menjadi sebuah kafe terutama dari segi perencanaan ruang. Pemilik kafe ini telah menyerahkan tanggung jawab kepada imanpuri interior & architectureuntuk mengubah wajah ruang ini untuk menjadi sebuah kafe yang berkonsepkan kopitiam moden.

 

 

S : Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses pengubahsuaian?
Anis Amir : Bagi proses renovasi, selama sebulan masa diperuntukkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian utama, hanya water feature yang terletak di bahagian hadapan kafe yang dikekalkan memandangkan ia antara feature yang menarik untuk dikekalkan. Pengubahsuaian utama melibatkan bahagian dapur di mana konsep yang ingin diketengahkan adalah open concept kitchen. Binaan kaunter menjadi elemen terpenting di ruang ini yang turut dilengkapi dengan kabinet pamer bercermin yang mempertontonkan seleksi hidangan kuih-muih kafe ini.
S : Bagaimana pula dari segi pemilihan konsep bagi kafe ini?
Anis Amir : Naturalistik adalah tema yang diterapkan dalam penggayaan kafe ini dengan memberi penekanan kepada kemasan penyudah material seni bina yang asas persembahan kosmetiknya dan rough plastering yang membiaskan mood rustik.. Namun, pemilik kafe mahukan inspirasi seni bina Melaka turut dipaparkan ke dalam tata hiasan dalaman memandangkan kafe ini menyajikan hidangan tradisional Melaka. Elemen ini saya paparkan kepada struktur bata di bahagian dapur terbuka yang berona merah, inspirasi warna seni bina kota A Famosa. Selain itu, biasan warna ini juga turut diaplikasikan sebagai warna utama latar dinding kafe. Secara psikologi juga kita sedia maklum bahawa warna merah mampu menyuntik selera dan warna yang serasikan digayakan di outlet makanan. Pilihan perabot pula mempamerkan keunikan perabot Baba & Nyonya yang antik sedikit sebanyak meniup atmosfera negeri Melaka.

 

 

S : Apakah keistimewaan kafe ini?
Anis Amir : Selain seleksi makanannya yang sedap? Sudah tentulah latar hiasan dindingnya yang bagaikan mencipta suatu ceriteranya tersendiri. Selain foto-foto hidangan menu yang mengecurkan selera, gambar nostalgia pemilik yang dicetak hitam putih membangkitkan nostalgianya tersendiri. Malahan, foto seni bina kediaman di Melaka memperindahkan lagi ruang serta mendekatkan para pelanggan yang datang dengan khazanah kebudayaan Melaka itu sendiri.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan serta inginkan informasi lanjut tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh imanpuri interior & architecture, silalah emelkan ke: imanpuri@yahoo.com

Berdandan dengan Dekorasi

Mencipta  atmosfera yang terbaik buat salon kecantikan adalah bahagian terpenting bagi menarik dan mengekalkan pelanggan anda. Beberapa faktor akan mempengaruhi atmosfera termasuklah warna, pencahayaan, aksesori dekorasi dan ruang pameran. Menentukan mood yang dimahukan di salon, adalah sesuatu yang perlu dilaburkan oleh pemilik dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggannya. Berpeluang melaksanakan projek dekorasi salon buat pertama kalinya memberikan pengalaman berbeza dari perspektif tata hias dalaman. Apatah lagi pemilik RO Salon yang sememangnya mempunyai nilai cita rasa yang tinggi dari segi tata hias dalaman.
Profil projek:
Projek                              : RO Salon
Pereka bentuk dalaman: imanpuri interior & architecture
Lokasi                              : USJ, Subang
Konsep                             : Moden Glam
Fotografi                         : snbphotography
S: Apakah yang dimahukan oleh pelanggan (pemilik salon)?
Anis AmirClient ini merupakan sahabat baik kepada Azmie Kamal. Pasangan ini bernama Wan dan isterinya Akiko yang berbangsa Jepun. Mereka mahukan gaya dekorasi sebuah salon dan butik yang glamor dengan perincian yang berani dan unik. Sebagai pemilik salon, mereka mahu memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Pelanggan yang gembira akan setia, dan bakal kembali untuk rawatan dandanan berulang-kali. Pelanggan akan memperuntukkan berjam lamanya di dalam salon untuk mewarna atau memotong rambut, dan mereka mahu mewujudkan suasana yang selesa buat pelanggan yang datang.
S: Siapa atau apa yang mempengaruhi rekaan hiasan anda bagi projek salon ini?
Anis Amir: Kebanyakannya adalah dari client kerana mereka sangat terdedah dengan dunia fesyen dan begitu trendy. Bagi susunan perabot dan reka letak adalah mengikut feng shui Jepun, contohnya bahagian kaunter tidak boleh menghadap pintu utama. Ia haruslah diletakkan di sebelah kiri pintu masuk. Kebersihan toilet juga sangat diutamakan, membuatkan client begitu berani sehingga menggayakan kemasan kertas dinding di dinding toilet salon mereka.
S: Bagaimana anda meletakkan kesemua skema kelihatan serasi digandingkan?
Anis Amir: Paling utama adalah warna simbol kekayaan dan keserasian client.  Warna jingga sebagai warna dominan, manakala perabot kebanyakan berwarna hitam dan putih menyerlahkan pesona ruang yang extremely chic. Penggunaan elemen cermin memberikan mood ruang lebih glam and gives the impression that they run a cutting edge salon.
S: Dengan ketelitian terhadap perincian, projek ini memerlukan penggayaan barangan dan aksesori yang ditempah khas dan mempunyai nilai cita rasa yang eksklusif. Apakah barangan yang anda rasakan sesuatu yang begitu istimewa?
Anis Amir: Cermin dan meja yang digunakan ketika membelai rambut pelanggan yang datang sangat menarik dengan kombinasi kemasan mirror dan stainless steel. Dekorasi dan skema rekaan yang digunakan ini dapat mencipta ambience yang membuatkan pelanggan kembali bukan hanya untuk mendapatkan dandanan rambut terbaik.
S: Apakah bahagian atau rekaan kegemaran anda bagi projek ini?
Anis AmirToilet! Pelik, tapi ia memang benar. Tetapi gambaran hasil seninya tidak dapat dikongsi bersama. Jika anda ingin tahu perlulah datang ke salon ini. Kemasan kertas dinding berwarna cooper dan feature wall bermotif bungaan begitu cantik sehingga membuatkan anda tidak mahu keluar dari ruang ini … ha..ha..ha..agak janggal bukan? Selain daripada itu, ruang menunggu juga sangat menarik di mana terletak di ruang tengah salon. Aturan sofa yang sangat selesa dan terlindung dari pandangan orang ramai memberikan kesan lebih privasi. Ruang menunggu yang selesa ini dilengkapi dengan set TV dan audio, ditemani dengan majalah dan juga paparan dekorasi dinding yang menjadikan pelanggan lebih gembira sebelum janji temu mereka di salon dimulakan.
S: Apakah terdapat cabaran dalam rekaan yang anda hadapi sewaktu mendekorasi salon ini?
Anis Amir: Cabaran kali ini sangat berbeza, pertama kali membuat projek ID tanpa plan. Semuanya lakaran di dinding site dan hasil perkongsian imaginasi saya, Azmi dan client. Apa yang boleh saya simpulkan, pengalaman yang selesa dengan gaya dekorasi menarik dan susun atur adalah kunci yang mengekalkan pelanggan salon anda. Mencipta persekitaran yang bertepatan dengan rawatan dandanan yang terbaik akan memberikan pengalaman yang lebih bermakna buat para pelanggan yang datang. Lukisan, dekorasi dan mempunyai perabot salon yang selesa adalah kesemua aspek yang perlu ada pada setiap pemilik salon dandanan apabila mereka mempertimbangkan rekaan bagi perniagaan mereka.

Transisi Dekorasi

 

Dekorasi tidak lagi menjadi perkara asing bagi pemilik kediaman kini. Malahan tata hias dalaman bagaikan menjadi satu kemestian tatkala memasuki ke kediaman baru. Bagaikan menjadi rencah kepada gaya hidup masa kini, kediaman yang indah didekorasi membentuk kesempurnaan maknanya. Bak pepatah yang sering diperdengarkan, “Rumahku, syurgaku”.

Kali ini, saya ingin titipkan sebuah projek imanpuri interior & architecture yang telah dipaparkan di dalam majalah Glam Deko Edisi 13/2011 Okt-Nov. Banglo baru yang terletak di kawasan perumahan 20trees Melawati ini mengenengahkan konsep Moden-Retro yang kian menjadi konsep ‘comeback’ dalam gaya dekor kerana ia memaparkan idea hiasan yang chic dengan sentuhan karakter yang mencipta pesona tersendiri. Lakaran inspirasi dimulakan dengan lukisan 3D bagi memberi gambaran konsep sebagaimana yang diinginkan oleh pelanggan.

Ruang tamu
Sudut di bawah tangga
Ruang menonton

 

Bilik tidur utama

 

Bilik tidur anak perempuan

1. Apakah yang terlintas di fikiran anda ketika kali pertama melihat kediaman ini?
ANIS AMIR: Sudah tentu sangat teruja kerana berpeluang berkarya untuk luxury home yang terletak di Melawati di mana ikon kediaman mewah. Maka sudah tentu pemilik kediaman ini juga mempunyai nilai cita rasa yang tinggi. Jesteru itu, segala perancangan bagi tata hias dalaman juga menuntut perencanaan yang begitu terperinci.

2. Bagaimana penentuan konsep dilakukan?
ANIS AMIR: Pemilik telah memilih konsep Moden-Retro bersama sedikit sentuhan urban. Agar kediaman tidak kelihatan janggal dengan gaya hidup masa kini, kombinasi elemen urban dapat membangkitkan nilai seni kepada ruang selain menambah efek keunikan dan daya penarik.

3. Bagaimana perubahan terhadap pelan lantai dilakukan dan berapa lama masa yang diambil?
ANIS AMIR: Selama dua minggu masa yang dimabil untuk menyiapkan kerja-kerja perincian tata hias dalaman seperti yang diminta oleh pemilik. Arkitek juga sangat menitik beratkan perancangan pelan lantai dan juga memaksimumkan pencahayaan semula jadi dan pengaliran udara.

4. Berapa lamakah masa diambil bagi melengkapkan kemasan terakhir bagi tata hias dalaman kediaman ini?
ANIS AMIR: Enam minggu masa diperuntukkan bagi membuat kerja-kerja penambahan plaster siling, elemen pencahayaan serta kerja-kerja pertukangan. Bagi kemasan lembut pula, pemilik telah memberikan peruntukan yang besar demi mendapatkan impak yang diidamkan. Saya telah bekerjasama bersama rakan baik Azmi Kamal yang juga merupakan pemilik Anam Ong, di mana merupakan seorang yang pakar di dalam pemilihan sentuhan yang dapat menyempurnakan gaya dekorasi kediaman seperti kertas dinding, elemen pencahayaan, perabot loose dan kemasan tingkap yang bercitarasa tinggi.

5. Apakah cabaran sewaktu mereka bentuk kediaman banglo ini?
ANIS AMIR: Kekangan deadline yang singkat memberi tekanan di dalam perancangan kerja agar hasilnya dapat memuaskan hati pemilik tanpa mengabaikan aspek-aspek dekorasi yang utama. Selain itu juga, pengawasan yang terperinci perlu dilakukan bagi menghindari sebarang masalah dari timbul di tapak projek. Malahan, ruang projek juga perlu dilindungi memandangkan kemasan lantai asal adalah marmar dan kayu padu di mana ia perlu ditutup dengan rapi agar tidak rosak.

6. Di manakah ruang kegemaran anda?
ANIS AMIR: Sudah semestinya ruang tamu yang berinteraksi secara langsung dengan ruang courtyard dan kolam renang. Ia menghubungkan ruang dalam dan luar kediaman, melimpahkan ruang dalaman dengan simbahan cahaya semula jadi dan udara luar yang segar. Memang mengasyikkan!

7. Pendekatan reka bentuk dapur.
ANIS AMIR: Ruang dapur hanya diberi penambahan kabinet sebagai unit penstoran serta elemen pencahayaan di kaunter bar bagi mendapatkan efek lebih terperinci dan menarik. Secara keseluruhan, kombinasi perabot kemasan, pencahayaan dan kemasan di kediaman ini berjaya mengenengahkan cita rasa yang tinggi dalam gaya dekorasi.

“Taste is relative and is the sum total of the intellectual and emotional experiences of the individual experiences of the individual. Taste, in order to be positive and vital, must be exercised and developed. Taste is changeable and is influenced by environment. A highly cultivated taste, a taste that is knowledgeable and eclectic, is likely to be exciting and provocative, a personal taste at its highest level.”
– Eleanor Brown, The Finest Rooms by America’s Great Decorators

Dunia inspirasi & ekspresi dekorasi

Hari ini semuanya mengenai trend dan style statement. Ya, kerana kediaman adalah syurga hidup kita semua. Selamat datang kembali ke blog dekorasi ini. Sedikit berbeza daripada apa yang anda lewati sebelum ini, saya selimutkan keindahan dunia dekorasi untuk anda nikmati, mencedok inspirasi dan berkongsi ekspresi dalam memenuhi impian di hati.

Bagi sesetengah orang, Tahun Baru akan atau tidak menterjemahkan ia kepada makeover kediaman. Tetapi bagi mereka yang sememangnya inginkan perubahan terhadap kediaman mereka, mungkin apa yang dipaparkan boleh dijadikan sumber ilham memandangkan saya akan membicarakan tentang trend yang bakal menyinari pada tahun 2012. Moden-Retro bakal melakar gaya dekorasi kediaman di tahun ini. Trend tata hias moden yang diolah dengan elemen chic di samping menekankan aspek keselesaan. Pendekatan gaya dekorasi sebegini mengenengahkan pemilihan material eksotik, penguasaan motif, kombinasi warna unik dan tata hias dalaman yang menyeronokkan. Sentuhan perabot koleksi pereka juga bakal menyuntik nilai eksentrik kepada gaya dekorasi.

Kelabu dipilih sebagai warna dominan kerana ia menawarkan fleksibiti tatkala menggayakan ruang berkonsepkan Moden-Retro. Tona ini memberikan mood yang lebih tenang ketika melangkah masuk ke ruang dalaman kediaman. Bagi menampilkan gaya ruang lebih chic, pilihan motif chevron pada kusyen dan lampu drum menawarkan impak klasik di ruang moden. Sofa kelabu yang ditempah khas diganding bersama kerusi pereka ‘egg-chair’ berona kuning mustard yang memberikan sedikit percikan warna pada ruang selain unsur kemewahan. Permaidani bermotif abstrak mencedok idea motif retro yang kerap digayakan pada tahun 1960-an.Perabot material kayu yang diaplikasi pada meja kopi dan tempat meletak majalah menyeimbangkan penggayaan ruang selain menampilkan ilham lebih sleek. Bagi melengkapkan penggayaan dekorasi seharian, candlebra dan gubahan bunga kontemporari menyempurnakan lagi penggayaan Moden-Retro anda, manakala lukisan abstrak geometri memberi karakter di ruang dinding.

Godaan si jingga tangerine sungguh magis sebagaimana menjadi warna pilihan bagi Pantone bagi tahun 2012 – Tangerine Tango. Bawakan warna berani ini ke ruang dalaman anda. Namun pastikan aplikasinya bertepatan dan mempunyai kesesuaian dengan penggunaannya.

Ya, hidup hari ini perlu dinikmati sepenuhnya. Sama ada hiasan di kediaman sendiri, ke tempat kerja mahupun tempat istirehat, kita mahu ia diserikan dengan pesona elemen dekorasi. Sekurang-kurangnya mata terjamu dengan keindahan yang dapat merungkai keresahan di jiwa.

RO Salon yang mendapat sentuhan imanpuri interior & architecture

Jika anda memutuskan untuk menggunakan khidmat pereka hias dalaman bagi merealisasikan projek pengubahsuaian, nasihat saya dapatkan yang benar-benar faham kehendak dan cita rasa anda agar dapat membantu anda mendapatkan mahligai impian. Dan bermula entri ini e-mel saya ya di imanpuri@yahoo.com, kerana saya mahu mendengar pandangan dan kemusykilan anda. Andai ingin terus mendapatkan perkhidmatan saya, bolehlah singgah ke 19B, Pusat Perdagangan Suri Puteri, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 20, Shah Alam.

Selamat tahun baru dan salam dekorasi.

Rekabentuk dwi-functional kediaman apartment

Sudah lama saya ingin berkongsi idea dekorasi rumah kediaman yang hampir 2 tahun saya design interior apartment ini…Alhamdulillah segala cetusan idea yang diimpi dan diangankan oleh pemilik apartment ini berjaya saya meralisasikan dan hasilnya pemilik rumah dapat berteduh dengan ruang yang ceria dan praktikal bersama anak-anak…

” Memiliki kediaman sendiri adalah saat manis yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi ia bakal menjadi tempat berteduh yang selesa buat kami sekeluarga. Untuk itu, saya telah mengubahsuai kediaman ini menjadi sebuah kediaman yang dapat memenuhi kehendak setiap penghuni nya”.

Koordinasi ruang yang sempurna diselaraskan mengikut keluasan ruang yang ada. Pemilihan sofa berbentuk L yang diletakkan di ruang sudut sangat praktikal dengna fungsi ruang yang menjadi tumpuan tetamu. Suntikan rona jingga daripada sofa dan ottoman berjaya menghidupkan lagi suasana ruang tamu kediaman ini.

Aksesori memainkan peranan dalam memberi sentuhan terakhir kepada wajah sesebuah ruang. Saya telah memilih bunga tiruan, bebola rotan dan juga potret keluarga sebagai medium yang bakal mencorakkan lagi keindahan segenap ruang kediaman.

Apa yang menjadi kunci kehebatan ruang kamar ini adalah pintu yang mudah dilaraskan penggunaan mengikut keluasan ruangnya. Nilai praktikaliti dan fungsian hebat menyerlahkan identiti ruang dengan konsep rekaan yang moden. Binaan kabinet pamer binaan dalam menjimatkan penggunaan ruang yang terhad selain menjadi unit penstoran yang bijak.

Dominasi material kaca seperti cermin dan kaca telus pandang menyerlahkan prinsip moden yang digayakan pada kediamna ini. Berperanan sebagai pembangkit ilusi ruang agar lebih luas, ruang kediaman kelihatan berganda di samping melampiaskan ilham seni bina berpotongan moden.

Pemilihan perabot binaan dalam di ruang kamar beradu utama seperti bahagian katil ini adalah solusi bijak dalam merungkai permasalahan ruang yang begitu terhad. Dominasi latar dinding rona putih menghasilkan refleksi cahaya yang lebih terang kepada ruang kamar, seterusnya mewujudkan dimensi ruang agar tampil lebih luas.

Idea rekaan di kamar anak-anak tampil dengan ceria dengan inspirasi dekor yang bakal mewarnai imaginasi mereka. Ruang kamar diperuntukkan sebagai temapt belajar, almari pakaian dan unit penstoran barangan mainan. Ruang lantai dinaikkan sedikit menjadi platform yang berkemasan lantai kayu berlamina di mana kebanyakan aktiviti si kecil dilakukan di ruang ini. Binaan meja almari binaan dalam dan meja merupakan penyelesain bijak dalam merencanakan ruang kamar si kecil yang berkeluasan minima. Aplikasi cermin besar di ruang dinding menghasilkan impak ruang yang lebih besar. Rekaan di kamar si kecil ini juga tidak mementingkan praktikaliti dan memberikan keselsaan, malah terapi warna yang ditonjolkan juga mempengaruhi mood mereka sewaktu berada di ruang ini.

Oleh kerana pemilik kediaman ini bekerja di rumah, siaz meja makan yang besar merupakan satu keperluan. Ini kerana, selain berfungsi sebagai tempat menjamu selera, meja tersebut juga dijadikan tempat bekerja, menulis, melukis dan membaca pelan bersaiz besar. Ruang makan diisi meja makan panjang lapan tempat duduk daripada paduan material kaca dan kayu padu. Selitan sofa berpotongan moden rona merah memberikan karakter berbeza pada ruang ini. Dinding sisinya diperkemaskan dengan panel cermin besar yang memenuhi ruang dinding bagi mengilhamkan ruang mkaan dan dapur tampil lebih luas dan besar.

Ruang dapur yang dilengkapi dengna kabinet dasar dan kabinet gantung sebagai unit penstoran ini boleh dilihat secara langsung dari ruang makan. Ruang dapur kering ini juga kelihatan menarik dengan kombinasi rona merah dna putih. Malah, setiap elemen yang saya tonjolkan juga menerapkan nilai praktikal dan fungsi ruang digunakan secara optimum. Terutama sekali dari segi pengaturan ruang dan pemilihan material perabot.

Baiklah setakat ini yang saya boleh kongsikan ruang kediaman rumah yang diilhamkan dengan penuh praktikal dan kebanyakan nya adalah dwi-function. Bagi saya, keselesaan pada kediaman penting kerana kediaman bukanlah sebuah ruang untuk dipertontonkan. Selain itu, kesinambungan antara gaya, nilai praktikal dan menepati keperluan serta gaya hidup juga menjadi kunci kekuatan sebuah kediaman yang ideal.

teruskan ‘stay tune’ bersama saya anis-amir….pakar dekorasi bersama anda!!!

PART 2 :Tips bagaimana merekabentuk dapur yang sempurna

Baik lah di sini saya nak sambung kembali PART 2 tips mengenai merekabentuk dapur yang sempurna…okey teruskan membaca yea….

Apakah cadangan penggunaan warna yang sesuai untuk ruangan dapur sempit agar kelihatan luas.
– Untuk dapur yang sempit, warna-warna memainkan peranan penting untuk menghasilkan mood yang sesuai dengan jiwa pemilik. Warna bermain peranan untuk menaikkkan mood ruang dapur. Sebaiknya ruang dapur mempunyai satu atau dua warna sahaja. Bagi pemilik yang menggemari mood yang santai dan kedesaan boleh memilih warna-warna yang neutral dari rona effect kayu. Bagi pengguna yang menggemarkan potongan ringkas dan moden boleh memilih laminated yang mempunyai warna-warna yang polos dan kaca berwarna. Jika mempunyai keluasan dapur yang terhad dan sempit, pemilik perlu bijak menggunakan warna agar tidak nampak sesak. Misalnya jika pemilik mahu menggunakan warna hitam sebagai kabinet, anda perlu pandai menyesuaikannya dengan warna-warna yang lebih cerah seperti di lantai, siling, counter top, glass tiles, dan kemasan tingkap.

Jika ingin menggunakan kertas dinding di ruang makan kediaman apartment, kondominium dan pangsapuri, apakah ianya sesuai. Jika sesuai apakah corak yang disarankan?
– penggunaan kertas dinding pada ruang makan bergantung kepada kedudukan ruang makan tersebut. Jika ia mempunyai permukaan dinding yang banyak dan terletak pada sudut maka ia boleh menggunakan kertas dinding tanpa memerlukan motif yang sarat dengan corak supaya ruang tidak menjadi smepit. padankan juga dengan warna-warna yang kosong asas di sekelilingnya supaya nampak lebih seimbang dengan kertas dinding tadi.

Pengcahayaan yang sesuai untuk dapur berkeluasan terhad?
– Pencahayaan adalah elemen asas yang penting perlu diterapkan pada dapur berkeluasan terhad. Utamakan pengcahayaan yang semulajadi dan mencukupi untuk setiap raung dapur. Ini memudahkan untuk bekerja dan menaikkan mood ruang dapur. Pencahayaan daylight lebih bersesuaian untuk ruang sempit kerana lebih terang.

Pilihan aksesori untuk dapur berkeluasan terhad.
– Aksesori untuk dapur bagaikan lipstik dan maskara. ianya adalah pelengkap gaya dapur. antaranya pilih pemegang pintu kabinet yang ringkas dan tidak menonjol. Selain itu penggunaan soft closer, carousel, cutlery tray, tempat letak pinggan mangkuk dan sebagainya membolehkan penstoran yang maksimum supaya peralatan menjadi teratur dan kemas. tidak lupa juga tumbuhan yang menghijau untuk menghidupkan suasana dapur supaya lebih tenang dan nyaman.

Susun atur yang sesuai untuk ruang dapur yang sempit.
– Seperri yang diterangkan pada permulaan tadi, jika mempunyai dapur yang sempit dan terhad memerlukan kebijaksanaan untuk menyusun atur ruang supaya tidak menjadi sempit dan lebih praktikal. lebih pentingkan kepada keperluan asas iaitu untuk ruang memasak, mencuci, penyediaan dan penstoran. Kedudukan keperluan ini perlu menepati kemudahan untuk pergerakan dan praktikal. Dan ini boleh dilihat dalam reka bentuk double line mahupun L. Walau bagaimana pun semua ini terpulang kepada kesesuaian reka bantuk dapur tersebut. dan kita perlu bijak merekabentuk untuk mendapatkan dapur yang diidam kan.

baiklah ini adalah antara tips bagaimana untuk merekabentuk sesebuah dapur mengikut kesesuaian ruang.Diharapkan dengan tips2 ini anda dapat mengaplikasinya di ruang dapur rumah anda….

teruskan ‘stay tune’ bersama saya anis-amir….pakar dekorasi bersama anda!!!

PART 1 :Tips bagaimana merekabentuk dapur yang sempurna

Ramai yang bertanyakan kepada saya bagaimana untuk merekabentuk sesuah dapur idaman yang menepati ciri-ciri sebuah dapur yang benar-benar menepati citarasa pemilik sebuah ruang dapur… sering kali soalan ini ditujukan…Sememangnya ruang dapur adalah satu ruang paling penting yang tidak boleh diambil mudah ciri-ciri rekabentuk dan fungsinya.

Kali ini saya bebesar hati ingin berkongsi tips bersama anda bagaimana ingin memilih atau merekabentuk dapur yang sempurna…tips ini adalah tips yang saya kongsikan juga diruangan ” Inovasi Dapur terkini ” dalam majalah DAPUR IMPIANA 2010

Langkah pertama yang perlu diambil sebelum membentuk ruang dapur?
– Sebelum mereka bentuk dapur perlu memahami kehendak pemilik, fungsi dan keperluan untuk dapur tersebut supaya susun atur dapur menjadi lebih sistematik dan memenuhi kehendak pemilik dapur. Pemilik juga perlu banyak membuat rujukan pada buku-buku, rakan-rakan, keluarga dan paling mudah mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini. Khidmat nasihat mereka membolehkan anda berjimat supaya tidak tersasar daripada bajet yang anda peruntukan.

Bagaimanakah menentukan reka bentuk yang sesuai dengan keluasan sebuah kediaman?
– Contohnya untuk reka bentuk untuk single line, double line, bentuk L, bentuk U, bentuk pulau. Pada kebiasaannya reka bentuk dapur bergantung kepada keluasan sesuatu dapur itu sendiri. Susun atur dapur single line, double line dan L sesuai untuk dapur yang berkeluasan sempit dan sederhana seperti di apartment mahupun kondominium. Manakala bentuk U dan bentuk pulau lebih bersesuaian dengan dapur yang emmpunyai keluasan yang luas yang lebih daripada 100 kaki persegi seperti rumah semiD atau banglo. Namun dlm menentukan rekabentuk dapur faktor pergerakan, pengcahayaan, pengudaraan adalah emelen asas yang perlu dititikberatkan.

Bagaimana membentuk dapur berkeluasan terhad?
– Dalam membentuk dapur yang berkeluasan terhad merupakan satu cabaran minda yang maksimum. Anda perlu bersikap terbuka dan positif untuk menggunakan setiap pelosok ruang dapur dengan sebaik mungkin. ukuran keluasan adalah satu aspek penting. Ini kerana dengan keluasan yang tepat anda akan dapat membentuk ruang dapur yang selesa dan memenuhi keperluan anda. Jika mempunyai saiz ruang dapur yang sempit perlu bijak mengatur ruang dan menempatkan keperluan yang asas sahaja iaitu ruang mencuci, ruang memasak, ruang penyediaan dan penstoran. Sekiranya mempunyai idea untuk membuat bar counter, serving counter mahupun kaunter pulau perlu dilihat kesesuaian pada ruang dengan melihat dari segi aspek pergerakan, keselesaan dan laluan kerja. selain itu antropometrik juga perlu tidak kurang pentingnya dalam mereka bentuk dapur yang sempit. Antropometrik adalah satu kajian tentang pergerakan manusia di sesuatu ruang. Contoh laluan yang minimum adalah 3′. Kabinet bawah tidak terlalu rendah atau tinggi begitu juga kabinet gantung. Pastikan pintu kabinet mudah dicapai dan dibuka untuk mengisi barang-barang.

Jika pemilik berhajat melakukan sedikit ubahsuai di ruang dapur terhad, apakah ubah suai ideal untuk sebuah kediaman jenis apartment atau pangsapuri?
– Pengubahsuaian yang ideal sekali untuk ruang dapur yang terhad adalah yang ringkas terampil bergaya. Di pasaran terdapat pelbagai pilihan material boleh didapati untuk pintu kabinet. Anda boleh memilih pintu kabinet dari solid wood, lamintaed finish, glass spray dan mdf spray board. Manakala permukaan kaunter kerja jika menggunakan concrete top boleh memasang kemasan jubin sama ada 300x300mm mahupun 600x600mm. Selain daripada itu boleh menggunakan material dari solid surface, kemasan laminated, granit mahupun marmar. Begitu juga kemasan lantai dan dinding perlu bijak memilih material yang sesuai dengan konsep dan bajet anda. Apa jua pilihan anda bagi ruang dapur yang terhad dinasihatkan supaya memilih material yang tampak ringan dan ringkas. Jika memilih material penuh dengan corak akan menyempitkan ruang dapur yang kecil.

Apakah saiz standard dapur apartment atau kondominium. Masalah yang sering dihadapi dalam rekaan dapur jenis begini?
– Saiz dapur pada apartment atau kondominium di pasaran sekarang begitu terhad luasnya. Biasanya apartment mempunyai keluasan dapur 100 kaki persegi sahaja. Dan ini memaksa pereka untuk berfikir lebih kreatif dan lebih mementingkan keperluan asas semata-mata untuk merekabentuk dapur tersebut. Masalah yang sering dihadapi adalah perletakan soket yang sedia ada tidak sesuai dengan penggunaannya dan ada juga kedudukannya terlalu hampir dengan sinki dan tidak mencukupi kuasa untuk perkakasan elektrik seperti peti sejuk, hud, periuk nasi elektrik dan sebagainya. Begitu juga dengan kedudukan paip air keluar dan masuk perlu dititikberatkan dari awal sebelum kerja-kerja pengubahsuaian mahupun pemasangan kabinet baru. Kebiasaannya kedudukan paip akan berubah mengikut lokasi yang sesuai dan jenis singki yang dipilih. Ini untuk mengelakkan kerja-kerja plumbing tiada bermasalah. dan perlu diingatkan untuk pastikan bahan-bahan plumbing berkualiti tinggi kerana tekanan air untuk rumah apartment mahupun kondominium mempunyai tekanan air yang tinggi.

*** bersambung di entry yang akan datang…lebih byk tips2 yang akan saya kupaskan untuk info anda semua mengenai rekabentuk dapur yang sesuai…

teruskan ‘stay tune’ bersama saya anis-amir….pakar dekorasi bersama anda!!!