Acapella, Ruang Terhad Punyai Gaya Hebat

acca1

Ira kayu bagaikan bergurindam membisikkan pesona keindahan gaya dekorasi kediaman ini. Keserasian antara jalinan corak yang terbentuk mencipta karakter ruang dan paling penting memberi kelegaan pada mata yang memandang.

Menata kediaman berkeluasan terhad sememangnya menuntut kreativiti yang tepat agar ia menjadi tempat yang paling selesa. Bijak memilih dan mengawal susun atur pastinya menjadi rencah utama penggayaan. Kali ini Profil Projek imanpuri interior & architecture memaparkan gaya hias kediaman berkeluasan terhad.

Profil projek:
Projek: Apartmen
Lokasi: Apartmen Servis Sri Acapella, Shah Alam

 

S:Apakah cetusan idea dekorasi bagi apartmen ini?
Anis Amir: Idea kontemporari yang segar dengan bermain lebih banyak perabot moden berpotongan ringkas bersulamkan rona natural dan material venir sebagai elemen utama penggayaan. Kediaman ini mempunyai reka bentuk segi empat sama. Ia mempunyai dua buah  bilik tidur dan satu bilik bacaan.
“Bilangan perabot yang minima menjadikan ruang tamu selesa dan kelihatan luas. Dominasi rona terang pada dinding memberikan dimensi ruang yang menenangkan dan damai apabila digandingkan dengan tona kayu venir yang menawan. “– Anis Amir
S:Bagaimana dari aspek pemilihan perabot memandangkan keluasan kediaman yang agak terhad?
Anis Amir: Ruang tamu yang sederhana luas dihias sempurna dengan sofa berbentuk L. Alasan pemilihan perabot sebegini dapat menjimatkan penggunaan ruang dan lantas mencipta keselesaan ketika menonton televisyen mahupun semasa kedatangan tetamu. Perabot binaan dalam bagi kedua-dua bilik tidur dan bilik bacaan turut membantu dalam mewujudkan ilusi ruang yang lebih lapang.
S:Kenapa venir menjadi pilihan?
Anis Amir: Tanpa perlu banyak aksesori, latar dinding yang diperkemaskan dengan kepingan venir menjadi sebagai elemen hiasan utama kediaman ini. Ia berjaya menonjolkan kekuatan personaliti ruang seterusnya mencipta pesona elegan dan impak lebih sofiskated. Malahan setiap kepingan venir bagaikan menitip ceritanya tersendiri dengan corak ira dan tonanya yang berbeza serta unik. Antara jenis venir yang digunakan adalah venir Sapeli bagi kabinet kasut gantung berdekatan ruang pintu masuk, venir Satin Apple di kabinet televisyen dan panel pembahagi ruang makan, venir Green Heart Poplar yang digabung bersama cermin di ruang makan serta  venir Zebrano bagi kepala katil bilik tidur kedua. Yang paling menarik adalah kemasan venir Mapa Burl di siling ruang makan yang mencipta pesona ruang lebih eksotik.
S:Apakah resipi sebuah dapur yang praktikal bagi ruang terhad?
Anis Amir: Ruang terhad memang menyukarkan pembentukan binaan pulau di ruang dapur. Namun solusi terbaik adalah dengan pembentukan kabinet dapur berbentuk ‘U’ dengan bahagian penjuru dijadikan ruang kaunter bar. Pastikan anda memilih jenis penstoran yang tepat agar segenap ruang kabinet dimanfaatkan sepenuhnya.
Semoga anda mendapat cetusan ilham yang boleh diadaptasikan dalam kediaman sendiri melalui paparan projek yang pernah menghiasi majalah Impiana ini. Nantikan kupasan dilema dekorasi dalam segmen 1001 Kediamanakan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *