1001 Kediaman (Bahagian Akhir)

Entri kali ini merupakan sisipan terakhir bagi kolum 1001 Kediaman yang telah dipaparkan di dalam majalah Impiana isu Jun 2011. Beberapa permasalahan dekorasi dari pembaca Impiana telah dirungkaikan dalam membantu mereka memiliki sebuah kediaman yang bukan sahaja cantik, malahan selesa dan aman.

Saya ingin menekankan beberapa persoalan yang sangat menarik untuk diketengahkan di sini. Antaranya, soalan pertama yang bertanyakan pendapat tentang cara terbaik untuk mempamerkan foto anak-anak dengan cara yang lebih kreatif. Sememangnya sebagai ibu bapa, merekodkan pembesaran anak-anak dalam bentuk fotografi memberi gamitan memori yang indah untuk diingati. Bagi kenangan-kenangan yang manis dan menarik, sudah pastinya anda mahu ia dikongsi bersama. Teknik cetakan yang semakin maju kini membolehkan anda mencetakkan foto-foto menarik anak anda dan dijadikan feature wall di kamar mereka atau di laluan masuk bagi mencipta karakter berbeza kepada ruang.

Satu lagi persoalan yang menarik adalah cadangan lampu di ruang lantai bilik air bagi seorang pembaca yang mempunyai anak yang berusia dua tahun. Aplikasi lampu di ruang lantai lebih sesuai digayakan di ruang kering bilik air dengan memastikan ia tidak berada di ruang laluan agar trafik tidak tergangggu. Penggunaan lampu LED kalis air adalah pilihan ideal kerana ia mempunyai kepelbagaian efek warna yang menarik dan mudah diselenggara.

Seterusnya, persoalan mengenai solusi bagi seorang pemilik kediaman yang mempunyai ruang pejabat di bahagian sudut lounge kediaman. Dia inginkan solusi bagi menyamarkan kedudukan ruang ini yang sesuai dengan konsep moden. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, dicadangkan penggunaan pintu gelangsar kaca bagi memisahkan ruang privasi dengan ruang sosial. Pemilihan material kaca sangat bersesuaian kerana efeknya tidak menyempitkan ruang kerja meskipun anda berada di ruang tersebut.

 

Apa yang anda perlu tahu tentang …
MEMAKSIMAKAN PENGGUNAAN RUANG
• Serlahkan keluasan ruang dengan penggunaan warna yang minima. Hanya gunakan satu warna, dan satu warna itu tidak semestinya putih. Tetapi anda boleh variasikan tekstur.
• Pastikan kedudukan perabot sentiasa kemas dan teratur. Elakkan memilih perabot yang bersaiz dempak. Ukur dahulu keluasan ruang sebelum membeli bagi memastikan kesesuaian perabot dengan saiz ruang.
• Pilih perabot jenis dwifungsi dan mudah dialihkan (perabot beroda). Ini membolehkan anda menyimpan perabot apabila tidak digunakan bagi memaksimakan kelapangan pada ruang yang terhad.

Nantikan entri akan datang yang lebih menarik dan informasi buat anda. Jangan lupa untuk ‘Like’ facebook iMANPURI!

Salam dekorasi!

Mengolah Ruang Dapur Apartmen

Ruang terhad seringkali dikaitkan dengan kediaman apartmen. Malahan, ruang yang seringkali menimbulkan permasalahan bagi pemilik kediaman apartmen adalah merancang pelan lantai ruang dapur. Ini memandangkan ruang yang terhad memerlukan perancangan teliti dalam memaksimakan penggunaan segenap ruang yang ada, namun masih menyajikan fungsian praktikal dan aliran trafik yang efisien.

Kali ini saya akan kongsikan khas buat mereka yang tinggal di apartmen cara mengolah ruang dapur mereka. Malah, bagi mereka yang tinggal di kediaman teres mahupun townhouse yang berkeluasan sederhana juga boleh mengaplikasikan idea dapur sebegini. Idea 3D ini telah dipaparkan di dalam majalah Dapur Impiana.

Pilihan material kabinet yang bersesuaian dapat mempengaruhi mencipta atmosfera yang bertepatan dengan keluasan dapur anda yang terhad. Pilihan material yang ringkas dan polos perlu ditekankan kerana material kabinet yang bercorak bakal menimbulkan suasana ruang yang lebih sempit dan menampakkan wajah ruang dapur lebih kecil.

Putih adalah pilihan konvensional bagi menimbulkan efek ruang lebih lapang. Rekaan kabinet dapur yang bertepatan dapat menjadi solusi penstoran yang maksimum buat anda. Malahan rak terbuka dapat memberikan lebih karakter kepada wajah ruang dapur anda yang dilatari kertas dinding. Bagi memisah dapur basah, aplikasi pintu gelangsar kaca dapat menghalang kemasukan asap, bau dan sebagainya tanpa mewujudkan batasan antara ruang dapur kering dan dapur basah. Manakala kaunter bar terapung memberi ilusi ruang sudut lebih lapang.

Bagi anda yang ingin mendapat perkhidmatan konsultasi dari imanpuri interior & architecture bolehlah emelkan ke imanpuri@yahoo.com. Anda pasti mendapat solusi terbaik bagi segenap ruang kediaman anda.