10 TIP UNGGUL MEMBELI-BELAH DI FLEA MARKET

Ledakan konsep dekorasi yang berasaskan vintaj semakin menarik minat pemilik kediaman tempatan. Kewujudan flea market dan kedai barangan terpakai atau vintaj mempertontonkan koleksi barangan dekor yang dapat merealiasasikan konsep Flea Market Style yang anda mahukan.. Namun begitu, tidak ramai yang tahu apa yang perlu mereka ketahui sebelum membeli-belah di flea market. Kali ini, saya akan berkongsi dengan anda 10 tip dan trik unggul yang akan memudahkan proses membeli-belah anda.

1. Perancangan. Walau dalam apa pun perkara yang dilakukan, perancangan merupakan elemen terpenting yang bakal membantu proses carian anda. Ketahui apakah barangan yang anda mahukan. Fikirkan tujuan anda untuk pergi ke flea market. Dengan ini anda telah mendapat gambaran kasar tentang hala tuju anda di flea market nanti.

2. Kajian. Sebelum anda menuju ke flea market, buat kajian terlebih dahulu terhadap harga pasaran barangan yang anda cari. Harga boleh menjadi sesuatu yang rumit terutamanya barangan antik. Tentukan harga yang anda mahukan sebelum bertanyakan harga dan kemudian tanyakan kepada penjual adakah itu harga terbaik yang mereka tawarkan. Jadilah seorang pengguna yang bijak.

3. Jadual. Mustahil bagi seorang pemilik kediaman dapat memenuhi impian dekorasinya dengan hanya sekali kunjungan ke flea market. Ini kerana ada sesetengah flea market yang hanya fokus menjual perabot, barangan antik ataupun aksesori. Kekerapan kunjungan adalah kunci kejayaan, terutama apabila anda mencari barangan tertentu. Tidak salah sekiranya anda sahaja datang untuk melihat, ia akan menambah peluang untuk mendapatkan barangan yang anda mahukan.

4. Wishlist! Janganlah menjadi seorang pengumpul barangan yang anda tidak tahu mahu digayakan di mana pada kediaman. Kesudahannya kediaman mengalami masalah ruang yang lebih berselerak dan kacau bilau. Pemilik kediaman yang bijak dan berhemah sentiasa tahu apa yang dia mahukan pada kediamannya. Dengan adanya wishlist atau senarai barangan, ia dapat menjadi garis panduan terhadap tujuan anda pergi ke flea market. Senarai ini melibatkan barangan yang sememangnya anda mahukan atau impikan. Buatkan senarai dengan maklumat terperinci, jika ia melibatkan perabot. Anda perlu mengetahui saiz yang diperuntukkan untuk perabot yang bakal diletakkan. Jangan lupa membawa pita pengukur! Dengan kewujudan pelbagai gajet yang memudahkan hidup anda, simpankan gambar ruang yang mahu anda hiaskan supaya apabila terjumpa barangan yang diimpikan anda terus dapat membayangkan di mana ia bakal digayakan.

5. Masa. Anda yang mengatakan anda patut tiba seawal mungkin untuk mendapatkan barangan yang terbaik. Ia sememangnya benar sekiranya anda pergi mencari di flea market yang popular atau yang kerap dikunjungi oleh mereka yang profesional. Tetapi anda juga yang mengatakan tawaran terbaik boleh diperolehi pada penghujung hari jualan kerana mereka tidak mahu membawa balik kesemua barangan. Kelebihan sekiranya anda datang lebih awal adalah anda dapat meninjai dahulu barangan yang dijual oleh setiap penjual di flea market sebelum jualan berlangsung. Dengan ini, lebih mudah untuk anda mensasarkan tempat yang perlu anda tujui dahulu. Bagi yang datang lewat, gunakan kelebihan ini untuk menawarkan barangan yang bersaiz dempak. Kebanyakan penjual sedia berunding terhadap barangan sebegini kerana ia susah untuk dibungkuskan semula, juga memerlukan kos pengangkutan yang mahal.

6. DIY. Sesetengah flea market turut menjual barangan yang mungkin perlu diperbaiki semula seperti kabinet yang patah atau kerusi yang telah koyak fabriknya. Mungkin terlintas di fikiran kita untuk memberikan wajah baru kerana tertarik dengan reka bentuk yang unik dengan melakukan DIY. Meskipun ia adalah idea yang kreatif, terdapat juga situasi di mana akhirnya perabot ini bakal disimpan di dalam stor. Beli perabot yang anda fikirkan berbaloi diberikan wajah baru atau mudah diperbaiki.

7. Berbelanja besar. Ada ketikanya akan terlintas di fikiran anda persoalan, “Bilakah waktu yang sesuai untuk berbelanja?”. Terdapat barangan di flea market yang berharga lebih mahal daripada jangkaan anda. Kebiasaannya melibatkan barangan vintaj pereka, edisi khas, barangan peribadi dan juga antik. Sekiranya anda menghadapi situasi sebegini, pertimbangkan untuk memperuntukan wang bagi barangan yang akan disimpan atau digunakan dalam jangka masa panjang. Bak kata pepatah, “Alah membeli, menang memakai”. Lagipun bukan selalu anda berbelanja untuk barang sebegini, mungkin sekali dalam setahun.

 

8. Pakaian yang selesa. Mungkin ada yang memikirkan ia bukanlah perkara penting. Tetapi pakaian dan kasut yang selesa banyak menyumbang kepada keselesaan dan keseronokan anda mencari barang di flea market, terutama di tempat terbuka. Anda perlu banyak berjalan untuk meninjau barangan yang dikehendaki. Janganlah disebabkan keadaan diri yang kurang selesa membuatkan anda membeli barangan dalam keadaan terburu-buru. Hasilnya, apabila tiba di rumah, anda berasa hampa dengan pilihan sendiri.

9. Bawa wang tunai. Meskipun kita berada di era mesin kad kredit bergerak, namun urusan secara tunai adalah standard dilakukan di flea market. Dengan membawa sejumlah wang ke flea market, ia dapat menentukan bajet anda sekaligus mengelakkan pembaziran.

10. Berseronok! Berkunjung ke flea market adalah aktiviti yang menyeronokkan. Nikmati masa anda kerana di sinilah anda berpeluang terjumpa dengan barangan yang diimpikan. Jangan lupa untuk beramah mesra. Kebanyakan mereka yang menjual di flea market melakukan demi keseronokan, dan barangan adalah daripada koleksi persendirian. Jika bernasib baik, mungkin mereka akan menghubungi anda dahulu sekiranya terdapat barangan menarik yang anda mahukan.

Proses membeli-belah di flea market yang berjaya bermakna anda membawa pulang barangan yang anda sukai dan diperlukan! Bukannya akan berlaku pembaziran dengan membeli barangan yang anda rasakan cantik dan menarik tetapi akhirnya tidak tahu di mana sesuai diletakkan setelah tiba di rumah.

Antara lokasi flea market yang popular di Malaysia adalah:

v Amcorp Mall Flea Market, Kuala Lumpur

v Pasar Karat Kuala Lumpur (Petaling Street)

v Pasar Loken, Ipoh

v Pasar Karat Jalan Hang Lekir, Melaka

v Lorong Kulit, Pulau Pinang

v Rengit Parade, Johor

v Pasar Karat, Batu Pahat

 

Selain dari flea market, anda juga boleh mendapatkan barangan vintaj di kedai khusus menjual barangan sebegini ataupun kedai perabot terpakai. Nantikan di entri akan datang, kedai pilihan bagi anda yang ingin merealisasikan dekorasi Flea Market Style.

Gaya Flea Market, Hot bagi 2013!

Salam dekorasi! Bertemu kembali di dalam entri pertama blog bagi tahun ini. Bagi peminat setia blog ini, terima kasih kerana sentiasa menyokong imanpuri interior & architecture. Tahun 2013, blog ini bakal menyajikan pelbagai projek dekorasi, idea, tip dan info-info terkini mengenai dunia dekorasi tempatan mahupun antarabangsa. Inspirasi ini boleh anda aplikasikan pada kediaman mahupun kehidupan anda. Apabila membicarakan isu dekorasi, ia tidak terhad kepada skop hiasan dalaman dan juga seni bina. Sebenarnya, ia banyak melibatkan gaya hidup kita dan juga persekitaran yang kita diami. Semoga blog ini dapat menjadi sumber rujukan bagi semua pemilik kediaman terutama di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Di dalam Impiana isu Januari 2013, imanpuri interior & architecture diberi kesempatan berkongsi serba-sedikit idea tentang penggayaan Flea Market sebagai panduan asas bagi pembaca. Apa yang cuba saya ketengahkan di blog ini adalah lanjutan kepada perbincangan di dalam majalah Impiana. Seni mencipta penggayaan Flea Market pada kediaman boleh dipelajari dengan pelbagai sumber rujukan yang mudah didapati kini, contohnya majalah yang mengkhusus kepada penggayaan ini ‘Flea Market Style’, terdapat juga buku rujukan khas mengenai gaya ini yang boleh anda perolehi di kedai-kedai buku utama. Sama ada ruang anda moden mahupun rustik, usah gusar untuk menggandingkan dengan barangan dekor diperolehi dari flea market. Apa yang perlu dititik beratkan adalah tentang pemilihan secara berhemah. Masalah yang sering berlaku dengan situasi flea market, sesetengah di antara kita gemar membeli satu atau dua barangan secara rambang yang tidak pasti apa yang akan dibuat dengannya atau di mana mahu diletakkan.

Gaya Flea Market bukanlah sesuatu yang asing di persada dunia dekorasi antarabangsa. Malahan berkunjung ke flea market telah menjadi aktiviti hujung minggu bagi berjuta penduduk di Amerika dan Eropah. Kebanyakan barangan yang boleh didapati di flea market adalah barangan baru, barangan yang jarang digunakan dan masih berfungsi dengan baik, barangan vintaj, koleksi dan juga antik serta beberapa barangan yang perlu dibaiki semula. Menyoroti Trend Dekorasi 2013, gaya dekorasi Flea Market ini bakal meniti di bibir pemilik kediaman tempatan yang semakin terdedah dengan aliran gaya yang diketengahkan dari luar negara ini. Tambahan pula, dengan wujudnya kedai-kedai perabot yang menjual perabot vintaj dan lama yang berkualiti tinggi serta aksesori-aksesori lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Dengan kedudukan ekonomi yang dialami kini, penjimatan dengan membeli barangan gaya Flea Market dapat membantu anda dalam memperuntukkan bajet yang sesuai demi hasil yang lebih mengagumkan.

Gaya Flea Market adalah tentang pemilihan secara berhati-hati terhadap setiap barangan, disertakan dengan pemahaman yang mendalam terhadap ruang kediaman anda (pelan lantai, pencahayaan, warna) dan juga keperluan anda. Ia merupakan kombinasi antara kreativiti dengan keaslian dan nilai cita rasa tentang apa yang serasi atau tidak digandingkan bersama. Dekorasi gaya Flea Market menawarkan peluang untuk menggabungkan personaliti bersama dekorasi, lama dengan baru, kontemporari dengan klasik di mana menghasilkan gaya yang menarik, mengalu-alukan dan selesa untuk didiami.

 

 

Sekiranya anda memang terbuka dengan idea dekorasi gaya Flea Market, ia adalah tidak mustahil untuk melengkapkan dekorasi kediaman anda keseluruhannya dengan barangan hasil dari carian di flea market. Dari perabot dan perkakasan elektrik hinggalah ke pinggan mangkuk, elemen penstoran, permaidani, lukisan, linen dan juga aksesori.

 

Dari sudut warna yang serasi dengan gaya Flea Market ini, nuansa biru dan hijau adalah pilihan warna bagi trend 2013. Seperti kebanyakan perabot dari flea market yang perlu dirias semula, memberikan nafas baru kepada perabot lama dengan palitan cat biru laut bakal menyuntik gaya Flea Market yang lebih segar dan anggun.

 

Di dalam paparan blog akan datang, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tip yang perlu diketahui sebelum ke jualan flea market dan senarai flea market serta kedai perabot yang mesti dikunjungi.